BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

salam

welcome

Saturday, January 23, 2010

Suara Wanita. Adakah Aurat Disisi Islam?

assalamualaikum warahmatullah. alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, pemilik sekalian alam. salam dan selawat ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, para sahabat, ahlul bait seterusnya sahabat-sahabat sekalian.

pertamanya, marilah sama-sama kita merafakkan syukur kepada Allah SWT kerana kita masih lagi dikurniakan pelbagai nikmat yg ttidak dapat dikira tanpa sesen pun dicas oleh Allah SWT. pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan saudara/i mengenai adakah suara wanita dikira sebagai aurat.

Suara wanita pada asalnya tidaklah aurat. Dalam keadaan normal dan aman dari fitnah, harus seorang wanita bercakap dengan lelaki dan harus lelaki mendengar suaranya sama ada berurusan jual-beli, mengajar, menyampaikan taklimat, menjawab telefon atau sebagainya. Pada zaman Nabi s.a.w., wanita-wanita sahabat bercakap dengan Nabi s.a.w. dan bertanya baginda tentang urusan-urusan agama yang bersangkutan dengan mereka. Selain itu, mereka juga bercakap dengan kaum lelaki (di kalangan sahabat) apabila ada keperluan dan tidak pernah Nabi s.a.w. melarang mereka.

Anas r.a. menceritakan; Apabila Rasulullah s.a.w. wafat, Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. pergi ke rumah Ummu Aiman untuk menziarahi beliau sebagaimana Rasulullah selalu menziarahinya sebelum kewafatan baginda. Sampai di rumahnya, mereka dapati beliau menangis. Mereka berdua bertanya; “Apa yang menyebabkan engkau menangis? Apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik bagi Rasulullah s.a.w..”. Ummu Aiman menjawab; “Aku menangis bukan kerana tidak tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi baginda, akan tetapi aku menangis kerana wahyu telah terputus dari langit (dengan kewafatan baginda)”. Jawapan Ummu Aiman menyebabkan Abu Bakar dan Umar terharu dan turut menangis bersamanya (HR Imam Muslim). Imam Nawawi tatkala mengulas hadis ini, beliau menegaskan –antaranya-; di dalam hadis ini (terdapat dalil menunjukkan) keharusan kumpulan orang lelaki menziarahi perempuan yang solehah dan mendengar ucapannya” (Syarah Soheh Muslim, juz. 16, kitab Fadhail as-Sohabah…).

Suara perempuan hanya akan menjadi aurat apabila dilemah-lembutkan atau dengan nada memujuk-rayu dan memikat. Ini sebagaimana yang ditegah Allah dalam firmanNya (yang bermaksud);

“…janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)”. (al-Ahzab; 32)

Menurut Imam Ibnu Kathir, ayat ini bermaksud; seorang wanita hendaklah jangan bertutur dengan lelaki-lelaki asing (yakni yang bukan mahramnya) dengan suara yang dilemah-lembutkan, yakni suara sebagaimana ia bertutur dengan suaminya”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir, oleh; Ahmad bin Sya’ban bin Ahmad dan Muhammad bin ‘Iyadi bin Abdul-Halim.
2. al-Fatawa, Syeikh ‘Athiyah Saqar, 2/177-178.
3. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 721.
4. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi

Friday, January 22, 2010

Tragedi Mamali Dilupai- Sekadar Mengingatkan


Berikut adalah catatan terperinci mengenai perkembangan di Kampung Memali, Mukim Siong, Baling yang berkesudahan dengan terkorbannya 13 nyawa bersama Asy-Syahid Ibrahim Mahmud.

Catatan yang dipaparkan di sini merupakan rakaman komputer daripada Signals Division pasukan PDRM yang mengikuti perjalanan tragedi Baling itu untuk maklumat perdana menteri.

Di sini dicatitkan juga fakta mereka yang tercedera dan mereka yang berjaya melepaskan diri daripada kepungan pihak polis. TOP SECRET:

001: Pada jam 1935 Hrs. (18/11/85) berpusat di Kem Pasukan Polis Hutan Sungai Petani, Kedah; 3600 anggota polis daripada pelbagai bahagian termasuk FRU (Penang), Pasukan Senoi Prak, Anggota Polis beruniform, Commando 69, sudah bersiap siaga untuk menerima arahan. Kumpulan ini diletakkan di bawah arahan seorang pegawai tinggi Ibu pejabat di Bukit Aman dan dibantu oleh beberapa pegawai daripada Bukit Aman, Kedah, Perlis, dan Penang.

002: Tepat Jam 1945 (18/11/85) pegawai tinggi yang memerintah daripada Bukit Aman telah mengeluarkan arahan bahawa kumpulan yang bersiap-siaga itu akan menyerang hendap satu kem komunis dalam daerah Baling yang berdekatan dengan sempadan Thailand.

003: Pada Jam 2005 (18/11/85) berlaku satu keributan di bilik operasi Sungai Petani di antara Pegawai Berkuasa pasukan Polis Hutan Sungai Petani dengan Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman. Kekalutan ini berasaskan arahan palsu yang telah dikeluarkan. Arahan menyerang dan membunuh penghuni 'kem komunis' itu sebenarnya disasarkan ke arah Ibrahim Mahmood, pengikutnya dan sesiapa juga yang hadir di Madrasah yang dibina oleh orang kampung di situ. Pegawai yang mengetuai pasukan Polis Hutan itu telah memberi penerangan kepada Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman betapa Ibrahim Mahmud dianggap oleh para pegawai pasukannya sebagai seorang ulama yang berwibawa. Malahan ramai di kalangan mereka adalah penuntutnya. Dilema yang tercetus ini mencetuskan satu suasana yang hening dan sunyi-sepi.

004:(18/11/85) Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman telah mencuba menghubungi Penolong Pesuruhjaya Polis di Bukit Aman, tetapi gagal. Kemudian dia berjaya menghubungi Musa Hitam yang ketika itu menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Hutan Sungai Petani telah diberikan laluan untuk bercakap dengan Musa Hitam. Beliau telah merayu kepada Musa Hitam dan membuat penjelasan betapa Ibrahim Mahmud adalah seorang ulamak yang disegani dan telah banyak berjasa dalam usaha menaikan taraf hidup masyarakat Memali. Malahan, Ibrahim Memali sudah terkenal dan dihormati oleh para sahabat dan lawan. Tetapi, akhirnya diketahui juga Musa Hitam telah memberikan arahan agar serangan itu diteruskan.

Nota Khas:
Kebanyakan anggota polis yang terbabit dalam operasi ini adalah mereka yang bukan beragama Islam. Operasi Khas ini telah diberi-nama "Operasi Hapus" oleh Musa Hitam.

005: Jam 2045 (18/11/85) sebuah majlis keraian telah diadakan di sebuah padang terbuka di Kem Polis Hutan di Sungai Petani. Di sana minuman bir dan minunam keras (arak) telah disediakan kepada semua unit. Namun, ada juga segelintir anggota Pasukan Polis Hutan itu yang tidak minum.

006: Jam 2147 (18/11/85) pegawai pemerintah operasi telah menerima mesej melalui wireless. Mesej yang diterima mengatakan betapa 10 orang komando polis hutan telah berjaya masuk kawasan Memali dan telah pulang dengan laporan penuh. Laporan itu adalah mengenai pergerakan masyarakat yang menghuni Madrasah tajaan Ibrahim Mahmud, yang sudah pun disahkan sebagai sasaran serangan polis itu.

007: Jam 21.47(18/11/85) semua unit telah bergerak di bawah pimpinan lapan pegawai muda. Mereka bergerak memasuki Baling dengan menggunakan dua kereta perisai. Pegawai pemerintah Unit Sungai Petani tidak menunjukkan minatnya ketika itu. Di waktu yang sama, Ibrahim Mahmud sedang memberikan kuliah kepada 50 orang penuntut yang hadir. Kuliah itu berlanjutan sehingga jam 23.45. Setelah selesai ada juga penuntutnya yang pulang ke rumah mereka sedangkan yang lainnya tidur bermalam di Madrasah itu.

008: Pada Jam 24.00 (18/11/85) Pegawai pemerintah daripada Bukit Aman telah menerima arahan terakhir mengenai 'Operasi Hapus' itu. Ketika itu berlaku sedikit kekesalan di kalangan pasukan daripada Sungai Petani. Mereka mahukan operasi itu dilakukan dengan mengadakan sekatan dan kepungan untuk mendesak Ibrahim Mahmud menyerah diri. Ketika itu ditaksirkan, tindakan mengepung itu mungkin membawa kesan hanya selepas tiga bulan. Cadangan unit Sungai Petani itu telah disanggah oleh Pegawai pemerintah daripada Bukit Aman. Beliau telah disokong oleh pegawai lain yang datang daripada Bukit Aman, dan juga OCPD Baling. Mereka berpendapat bahawa strategi yang melecehkan itu mungkin membabitkan pergeseran di antara pihak polis dengan anggota tentera yang berkhemah di sempadan Malaysia/Thai di Sik dan Baling. Kecurigaan mereka ini muncul kerana 90% anggota tentera yang disebutkan itu memang menyokong pergerakan Islam dan juga Ibrahim Mahmud.

Keadaan kelam kabut muncul lagi. Sekali lagi Musa Hitam di hubungi. Pada kali itu, pegawai yang berkuasa diberitahu bahawa Musa Hitam tidak dapat di hubungi kerana beliau telah pergi ke sebuah hotel di Kuala Lumpur. Di waktu yang sama Timbalan Menteri hal Ehwal Dalam Negeri, Radzi Ahmad sedang mengikuti perkembangan dengan berada di Ibu pejabat Polis Penang. Beliau sedang mengikuti perkembangan 'Operasi Hapus' itu. Tidak berapa lama kemudiannya Musa hitam telah menghubungi pihak polis dengan suara yang seolah marah dan rasa terganggu. Musa tidak banyak bercakap cuma mengeluarkan perintah untuk melakukan operasi penghapusan walaupun ia bermakna secara menyeluruhi Negeri Kedah.

Catatan di Kampung Memali: Seorang pemandu motorsikal dilihat berhenti di hadapan pintu-gerbang rumah yang dihuni oleh Ibrahim Mahmud. Seorang muda dilihat berlari ke arah pintu rumah itu meminta kebenaran untuk masuk. Dia telah memberitahu penghuni rumah itu betapa dia ternampak satu kumpulan polis yang ramai di Baling setibanya di pekan itu. Ibrahim Mahmud telah dikejutkan dari tidurnya. Begitu juga halnya dengan 39 orang lain yang telah berjaga malam di Madrasah itu sebelumnya. Mereka dikerah bersiap sedia untuk mempertahankan diri. Mereka mula mengumpulkan segala alat yang ada di rumah kampung seperti kapak, pisau, buluh runcing dan sebagainya. Yang lebih berani telah membuat bom molotov pula. Dengan lain perkataan, setiap insan di situ ada alat senjata yang boleh dipergunakannya.

Dalam kumpulan yang bertahan itu ada empat kanak-kanak dan lima kaum wanita. Ibrahim telah mengajak para pengikutnya untuk berwuduk daripada sebuah telaga yang berhampiran. Mereka telah melaksanakan solat sunat dan juga solat hajat. Mereka membaca Surah Yaasin dan berzikir. Ibrahim Mahmud kemudiannya memberi ucapan betapa beliau lebih rela bersyahadah daripada menyerahkan dirinya untuk dijadikan alat mereka yang mahu menaikkan semangat nasionalisme. Ibrahim telah meminta sesiapa yang curiga dengan hasratnya itu meninggalkan kumpulan mereka. Tidak ada sesiapa yagn mahu berganjak daripada tempat duduknya. Laungan Allahuakbar mula bergema, bertalu-talu dan memecah keheningan Kampung Memali. Yang hadir lebih memilih jalan 'syahid' daripada terus hidup mengabdikan diri ke jalan yang hina. Di waktu yang sama di Stesen Polis Daerah Baling, segala persiapan untuk menyerang kampung Memali semakin dipercepatkan. Semua itu dilakukan oleh kebanyakan anggota polis
yang telah mabuk ataupun tidak keruan fikirannya.

009: Jam 0100 (19/11/85) 3,600 (Tiga Ribu Enam Ratus) anggota polis bersama pegawainya telah tiba di Kampung Memali. Mereka lengkap bersenjata automatik dan tiba dengan kereta perisai. Mereka mula mengepung kampung itu. Ketika itu Musa Hitam tentu sekali masih lagi berada di hotel kerana dia tidak dapat dihubungi. Semua urusan komunikasi dilakukan pula dengan timbalannya yang bertahan di Ibu pejabat Polis di Penang. Kebanyakan anggota polis yang tiba di Kampung Memali itu masih lagi beranggapan mereka akan menyerang sebuah kem komunis. Itulah maklumat yang diberitahu kepada mereka oleh Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman. Di waktu yang sama kumpulan daripada Sungai petani hanya kecil sahaja dan masih samar akan tugas mereka.

010: Jam 0300 (19/11/85) Kampong Memali telah dikepung seluruhnya oleh pihak polis. Polis yang beruniform ditugaskan membuat sekatan jalan raya. Pasukan Polis Hutan telah diarahkan ke bahagian Selatan. Pasukan FRU (Polis Gerak Khas: kaki-pukul) diarahkan ke bahagian utara. Pasukan Komando 69 (Polis Hutan) telah dikerahkan di bahagian belakang rumah Ibrahim Mahmud yang juga merupakan sekolah agamanya.

011: Jam 0336 (19/11/85) Pegawai Tinggi daripada Bukit Aman yang memerintah Operasi Hapus itu telah bercakap menggunakan pembesar suara. Dia mahukan Ibrahim Mahmud menyerah diri. Ibrahim Mahmud berbincang dengan penghuni rumahnya itu. Mereka membuat pendirian untuk tidak menyerah diri walaupun pasukan yang datang itu berpakaian seragam melambangkan wakil negara. Mereka bertakbir dan laungan Allahuakbar mula berkumandang semula.

012: Jam 0400 pagi (19/11/85) satu kumpulan manusia yang berjumlah 30 orang termasuk wanita dan kanak-kanak tiba-tiba muncul daripada bahagian utara . Mereka berlari di tengah-tengah benteng pasukan Polis Hutan dan juga Komando 69 dan membawa senjata tajam yang sering mereka gunakan ketika bertanam padi. Mereka cuba memasuki rumah Ibrahim Mahmud untuk memberikan sokongan. Anggota pasukan Komando 69, yang masih lagi mabuk dan kurang berdisiplin itu telah menembak ke arah penduduk kampung yang sedang berlari itu. Tetapi, mereka tersalah sasar, maklumlah kerana masih mabuk lagi. Namun tindakan mereka itu membuatkan orang kampung berpatah balik kerana ketakutan. Tindakan melulu Pasukan komando itu telah mengena seorang pegawai kanan Pasukan Polis Hutan. Seorang pegawai rendah dan juga seorang konstabel pun turut terkorban. Tembakan ke arah orang kampung yang tidak berdosa oleh satu pasukan yang khayal telah tersesat kepada badan pasukan kawan
sendiri.

Satu perundingan telah diatur untuk menenangkan keadaan. Operasi mengepung masih lagi berkuatkuasa. Tetapi, beberapa pegawai daripada Alor Star telah meminta agar pengepungan itu dibatalkan sahaja. Mereka telah mengambil iktibar daripada kematian tiga orang sendiri disebabkan tindakan yang songsang. Permintaan mereka telah ditolak oleh pegawai pemerintah.

BABAK DUA

013: Jam 0521 (19/11/85) Azan subuh berkumandang di rumah Ibrahim Mahmud. Suara yang sungguh sayu itu menjentik sentimen anggota polis daripada Alor Star. Mereka semakin mencurigai matlamat operasi polis itu. Ibrahim Mahmud mengimamkan solat pagi itu dan suaranya semakin jelas ketika itu. Di waktu itu Pegawai pemerintah Operasi telah mengeluarkan arahan agar pasukannya mula menyerang. Beliau telah ditentang oleh pegawai yang beragama Islam.

014; Jam 0559 (19/11/85) Solat Subuh pun selesai dan pengepungan diketatkan lagi. Tiba tiba, satu kumpulan orang kampung muncul untuk memasuki perkarangan rumah Ibrahim Mahmud. Mereka terpaksa menentang pasukan Polis Hutan. Mereka menyerbu ke rumah Ibrahim bersenjatakan senjata kampung dan sambil menggenggam tangan mereka melaungkan Allahuakbar. Melihatkan perbuatan orang kampung itu pegawai pasukan Polis Hutan mengarahkan pasukannya untuk berundur dan tidak menentang mereka. Mereka hanya diarahkan bertahan sambil bersiap sedia sahaja. Masa terus berlalu, operasi untuk menghapuskan Ibrahim Mahmud itu semakin menyerlahkan kejijikannya. Keadaan hari yang semakin siang telah menyerlahkan betapa operasi itu bertujuan melindungi rahsia kejijikan perancangannya. Kini, unsur kerahsiaan itu telah terdedah sama sekali.

Nota Khas:
Sebelum operasi itu dilancarkan ramai pemimpin beragama Islam telah ditangkap. Kita boleh menyoal diri kita apakah keheningan malam telah mampu menggelapkan kejijikan operasi semacam itu ?

015: Jam 08.15 (19/11/85) setelah mendapat kelulusan timbalan menteri hal ehwal dalam negeri pegawai pemerintah operasi telah memberi arahan agar dua kereta perisai mula menyerang rumah Ibrahim Mahmud. Mereka telah dihalang oleh balingan bom molotov.

Ini membuatkan pasukan polis itu berundur sambil terus memuntahkan peluru senjata automatik ke arah rumah yang dikepung itu. Di waktu yang sama empat orang wanita dan tiga orang kanak-kanak berlari keluar rumah itu. Mereke diarahkan oleh Ibrahim agar melarikan diri. Mereka telah dikepung dan ditangkap oleh pihak polis dan dihumbankan ke dalam trak polis yang diawasi oleh anjing penjaga. Ketika itu juga serangan diteruskan. Tembakan pihak polis disambut dengan laungan Allahuakbar sahaja secara berterusan.

016: Jam 11.05 (19/11/86) Komando 69 diarahkan menyerang rumah Ibrahim.

017: Jam 1136 (19/11/85) pasukan Komando 69 telah menyerbu masuk dengan senjata yang dipetik. Berlaku beberapa pergelutan di mana Ibrahim dan orang-orang yang masih bertenaga terus melawan. Ada juga ahli rumah yang keluar untuk berlawan dengan anggota polis di kawasan halaman. Polis terus menembak mereka walaupun mereka sudah tidak bersenjata lagi. Hanya Allahuakbar yakin mampu mereka ucapkan sehinggalah nyawa hilang dalam perjuangan itu. Ramai yang mati sedangkan ada juga bilangannya yang cedera teruk sahaja. Beberapa orang anggota komando telah menyerang Ibrahiml Beliau telah melawat merka dan mampu membunuh salah seorang yang menyerangnya. Tetapi beliau terkorban akhirnya setelah dada sebelah kanannya dituju berpuluh kali. Ibrahim gugur dengan genggaman tangannya berkepal ke atas sedangkan mulutnya masih lagi melaungkan Allahuakbar. Seorang pegawai polis berlari meluru ke arahnya untuk mengepung kepala Ibrahim ke ribanya. Ibrahim kedengaran bersuara:
"Alhamdullilah, kerana mengorbankan kami ke jalan mati syahid."

018: Jam 1213. Serangan pihak polis ditamatkan. Mereka yang telah ditangkap telah disungkup dengan karung guni. Beberapa anggota Komando 69 telah dilihat menendang badan yang terbujur itu untuk menentukan mereka sudah mati. Ada pula yang terus menembak mereka lagi sambil berkata; "Pergi jahanam dengan Islam".

019: Jam 1305 (19/11/85) Pegawai pemerintah operasi telah membuat laporan kepada Ibupejabat Polis Penang dan juga kepada Musa Hitam di Kuala Lumpur. Musa Hitam mengarahkan agar semua orang kampung ditangkap untuk menahan agar rahsia operasi itu tidak terdedah.

020: Jam 1500 (19/11/85) kerja-kerja menangkap saki baki orang kampung dilakukan. Mereka diterbangkan dengan dua helikopter polis. Mereka yang cedera dan mati dihantar ke hospital di Sungai Petani dan Alor Star. 4 mati syahid di Sungai Petani dan 10 yang sudah mati dibawa ke Alor Star, termasuklah Ibrahim Mahmud.

021: Jam 1510 (19/11/85) Sektiar 30 anggota tentera lengkap dengan senjata automatik tiba di hadapan rumah Al syahid Ibrahim. Berlakulah pertelagahan di antara pegawai petugas di kalangan pasukan polis yang mengwasi tempat itu dengan ketua anggota tentera yang tiba di situ. Anggota polis yang ramai itu diberikan arahan untuk bersiap sedia dengan senjata mereka. Menyedari betapa bilangan mereka kecil dibandingkan dengan anggota polis yang bertugas di situ pihak tentera pun meredakan keadaan. Ketuanya pernah berkata: Hari ini hari kau.....Kau boleh lakukan apa yang kalian mahu. Tetapi ingat, akan timbul satu hari nanti, kami akan menentang kamu dengan kekuatan yang setara. "

BABAK KETIGA

Setiap insan yang waras di kalangan marhaen di negara ini tentu dapat membuat penilaian akan lapuran mengenai Al syahid Ibrahim Mahmud. Beliau bukannya seorang penjenayah seperti yang digambarkan oleh Musa Hitam. Namun, akhbar New Straits Times bertarikh 21/11/85 menerbitkan satu tajuk yang bertulis: Empat anggota polis dan 14 penjenayah mati dalam pertempuran. Di akhbar yang sama Musa Hitam telah menuduh Ibrahim Mahmud bersama 13 rakannya sebagai penjenayah dan penganut ajaran sesat. Beliau telah menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh majlis Agama Islam Kedah yang berkata: "Ustaz Ibrahim hanya memberikan ceramah agama. Lagipun dalam satu pertemuannya dengan pihak akhbar Musa Hitam telah mengulangkan cerita bagaimana dia telah diseranah dua kali oleh persidangan UMNO kerana tidak bertindak tegas terhadap aktiviti keagamaan seperti yang dilakukan oleh Ibrahim Mahmud itu. Kalau kita pertimbangkan segala fakta yang terserlah, termasuk keputusan pemilu
di mana BN hanya mampu menang tipis, kita boleh membuat kesimpulan betapa 'Operasi Hapus' adalah satu tipu muslihat untuk menghapuskan Ibrahim Mahmud bagi kepentingan politik UMNO. Mereka mahu menentukan terhapusnya rintangan dalam menentukan kemenangan kerusi Bayu/Baling dalam pemilu yang mendatang

Yusuf Al-Qaradawi tokoh ulama serba boleh, reformis dunia Islam

PEMILIHAN Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa 1431/2009M adalah tepat dan ditunggu-tunggu umat Islam di negara ini sejak sekian lama. Beliau adalah contoh tokoh ulama serba boleh, disanjungi kawan serta lawan dan dinobatkan sebagai reformis dunia Islam dalam segala bidang oleh banyak pihak.


Malahan melihat kepada keperibadian dan kewibawaan beliau yang begitu mengagumkan, di samping sebagai tokoh ilmuan, beliau juga turut diiktiraf sebagai pemikir, sarjana dan ikon intelek kontemporari pada abad ini. Bintang dunia Islam ini dilahirkan di Mahallah al-Kubra, Gharbiah, Mesir pada 1926 telah mendapat pendidikan tertingginya di Universiti al-Azhar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam fiqh al-Zakat pada 1973. Beliau menjadi idola kepada ilmuan Islam di seluruh pelosok dunia dan dianggap sebagai ensiklopedia dan kamus bergerak umat Islam.

Jika sebelum ini kita hanya membaca, meneliti dan menelaah sekian banyak buku, makalah, kajian dan pelbagai bahan penulisan ilmiah serta fatwa-fatwa mutakhir yang dikeluarkan beliau melalui pelbagai medium tanpa memberi apa-apa penghargaan dan pengiktirafan kepada beliau, maka pemilihan beliau kali ini sebagai Tokoh Maal Hijrah adalah bukti terima kasih, penghormatan dan pengiktirafan tertinggi negara kita dan umat Islam di sini kepada golongan agama yang diwakili beliau.